25 July 2008

Main rogol-rogol ganti masak-masak

KUALA LUMPUR: Jika selama ini main ‘masak-masak atau main kahwin-kahwin’ begitu sinonim dengan kanak-kanak, namun pengakuan tiga murid sekolah rendah yang terjebak dalam permainan ‘main rogol-rogol’ sangat menggemparkan.

‘Permainan’ yang bertitik tolak daripada ketagihan menonton VCD lucah itu mendorong kanak-kanak bawah umur terbabit ghairah mencuba melakukan hubungan seks walaupun sesama saudara terdekat.

Lebih memeranjatkan apabila murid sekolah rendah seawal usia 10 tahun itu tergamak menjadikan adik perempuan serta kakak dan adik saudara sebagai bahan eksperimen melakukan perbuatan terlarang terbabit.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Sahabat Insan dan Iman Malaysia, Ahmadi Baharudin, yang memberikan kaunseling kepada sekumpulan murid sekolah rendah yang dihantar untuk pemulihan akhlak dan akidah di sebuah pusat dakwah di Banting, Selangor, baru-baru ini.

Dalam temu bual pada sesi kaunseling itu, katanya, tiga murid lelaki, masing-masing berusia 11 tahun dan seorang berumur 10 tahun, membuat pengakuan jujur mengenai keterlanjuran mereka melakukan zina akibat terangsang selepas menonton VCD lucah.


Katanya, seorang daripada murid terbabit yang dikenali sebagai Amir, 11, mendakwa gagal mengawal nafsu sebelum mencabul kehormatan adik kandung sendiri berusia enam tahun.

“Amir yang berasal dari pinggir ibu kota mendakwa kerap menonton VCD lucah yang akhirnya mendorong dia menjadikan adik kandung sendiri sebagai mangsa pemuas nafsu.

“Saya diberitahu ketika kejadian, Amir menonton VCD lucah bersama rakan di rumah ketika ibu dan bapa keluar bekerja,” katanya.

Akibat tidak dapat mengawal gelojak nafsu, Amir menarik adiknya masuk ke bilik sebaik rakan beredar.

“Adiknya yang berusia enam tahun tidak mampu berbuat apa-apa berikutan si abang lebih ‘pandai’ akibat terpengaruh dengan perbuatan dalam VCD lucah. Malah, dia memberitahu, perbuatan terbabit sekadar ‘main rogol-rogol’ saja,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan tidak bermoral kanak-kanak terbabit hanya diketahui ibu bapanya selepas adik perempuan mengadu mengenai perlakuan jijik si abang.

“Amir memberitahu dia dipukul teruk dan tidak dibenar keluar rumah serta bergaul dengan rakan hingga dihantar ke pusat itu untuk mendapat bimbingan,” katanya.

Ahmadi berkata, Amir mendakwa mudah mendapatkan VCD lucah daripada rakan selain membelinya di pasar malam berhampiran dengan menggunakan wang saku pemberian ibu bapa.

Seorang murid yang dikenali sebagai Ashraf, 10, pula mengaku melakukan perbuatan ‘main rogol-rogol’ itu bersama kakak saudaranya yang berusia 12 tahun dan puncanya juga sama iaitu pengaruh VCD lucah.

“Ashraf memberitahu, ketika kejadian dia dan kakak saudaranya menonton VCD lucah bersama selama dua jam sebelum kanak-kanak perempuan itu mengajaknya ke bilik,” katanya.

Selepas itu, katanya, mereka melakukan aksi sama seperti dalam VCD berkenaan selama lima minit sebelum dilihat bapa tiri Ashraf yang pulang ke rumah.

Seorang lagi murid berusia 11 tahun dikenali sebagai Kamal terjebak dengan aktiviti ‘main rogol-rogol’ bersama adik saudaranya.

Kanak-kanak berkenaan yang tinggal di ibu negara mendakwa terpengaruh melakukan seks selepas menonton VCD lucah yang dipinjam daripada rakan.

Pengakuan jujur ketiga-tiga murid terbabit yang dirakamkan menggunakan perakam video dianggap gejala sosial memeranjatkan berikutan membabitkan kanak-kanak belum baligh.